puisi untuk nusantara mari kita alunkan sekali lagi lagu ini

Ini lagunya:

 

 

 

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

 

 

MARI KITA ALUNKAN SEKALI LAGI LAGU INI

 

 

Rakan, mari kita alunkan   lagu ini  kembali

Lagu penghimpun hati-akal Melayu zaman bahri

Alunan mendidik raja ulama hulubalang anak negeri

Pembentuk tamadun beradab berbudi  tinggi

Perkasa melahirkan Pasai Melaka Acheh dan Inderagiri

Ala’ al-Din Tun Perak, Bendahara Tun Tuah anak buah dalam negeri

 

 

Kita perdengarkan alunan hal akal budi

Perwira gagah perkasa sarat ilmu beramanah tinggi

Raja penaung umat, penyayang, umpama payung terdiri

Pembesar penjaga rakyat jelata  dalam siasah ta’ terperi

Ulama makhdum maulana lebai pengasuh budi

Negeri selamat rakyat sejahtera agama tegak terdiri

 

Ahli sastera pujangga bermadah mendidik penyayang

Ilmiawan lunak bicara suara mengalun menerawang

Merentas abad menyeru insan berakal panjang

Menjaga maruah agama budi bicara jangan hilang

Raja pembesar rakyat jelata bawaan terbilang

Agar bangsa terus kekal dalam gemilang

 

Rakan, perdengarkan lagi sekali kiasan ibarat tinggi

Madah pujangga zaman beradab harum semerbak bak setanggi

Bahasa lunak indah makna dalam menusuk sanubari

Terelak bicara kasar makian bising kaum tak berbudi

Yang hanya memandang wang dan bangunan tinggi

Tak terkawal maruah bangsa kekuatan boleh pergi

 

Rakan, perdengarkan kata setia, dalam kebenaran

Perlambangan dalam Fansuri di Barus dengan kiasan

Nurud-Din al-Raniri wacana hukum gandingan ma’rifatul-adyan

Laut bicara wahyu dari ‘Abdul Rauf dalam huraian

Penghimpun wacana sepadu ‘Abd al-Samad dalam penjelasan

Syaikh Ahmad dalam hukum, pegangan dan kemajuan

 

Keperkasaan kesetiaan Tun Tuah dalam negeri

Mempertahan umat raja institusi  seterupun ngeri

Bersama bendahara mahir siasah bijak bistari

Tamadun bangsa selamat terkawal lagi berseri

Hilang, malang bila dimusnah khianat si Feringgi

Mendendam memusnah raja lagi anak negeri

 

 

 

Rakan, peringatkan kepadaku wacana bijak bistari ini

Bicara Tun Perak, Tun Mutahir, siasah penyelamat kini

Matang hatta mendidik raja berbudi tinggi

Pelaksana keadilan memayungi rakyat dalam negeri

Berganding sama maulana makhdum bijak bistari

Seteru datang tak terlintas menyerang negeri

 

Perdengarkan lagi bicara kebenaran kesetiaan kasih sayang

Dari kisah indah pemberi pengajaran agar ta’ hilang

Bahasa indah dalam pengucapan bersinar umpama bintang

Memandu anak bangsa berupaya terus terbilang

Pengingat hati-akal seperti si haus tandus di padang

Supaya terjaga maruah bangsa nama nenek moyang

 

Rakan, apa itu ma’rifat wali sembilan?

Ampuh rohani mendepani ancaman zaman?

Masih itu diperlukan bagi mendepani globalisasi zaman

Terpandu bersama nilai dan keyakinan

Bersama  harga diri kesejahteraan dan kebenaran

Erat kerjasama anak Hawa dan Adam dalam keturunan

 

 

*Rakan perdengarkan lagu merdu bicara Sunni

Jambatan keemasan rohani ilmu  alam Islami

Menghubung  Dunia  Melayu dan Wacana Sunni

Sarwajagat terbilang di medan ilmu Islami

Menautkan hubungan  Muslim dunia Melayu masakini

Rumpun Melayu Islami bercantum kembali

 

*Mari kita perkasakan kembali wacana kebenaran ini

Kita cantum kembali  fikrah berkecai  menyimpang kini

Nan terubah dari panduan sarwajagat  wacana Sunni

Kembali ke paksi intelektuil asal kita  sejak zaman bahri

Kita menangkan kebenaran Qurani mendepani masakini

Menguat kembali asas tamadun kita sekarang ini

 

*Kita perteguhkan benteng intelektuil rohanian iman

Membina  kekuatan kembali mendepani kemelut pegangan

Menggabung ilmu syarie dengan  pengetahuan zaman moden

Penuh kebijaksanaan dalam kerangka pendoman

Sunni dalam pandangan mahir masakini berketrampilan

Memancare kembali petradaban  dengan izin Tuhan.

  

 

Gubahan Lebai  Kembara Dunia Melayu

Muhammad ‘Uthman El-Muhammady   di UKM sempena Seminar Antarabangsa sastera Melayu ke VIII pada 6  Julai  2004.

 

 

 

 *Bait-bait tambahan sempena seminar reformasi pemikiran anjuran YADIM di Bandung pada 18 Oktober 2008 di Hotel Savoy Homann, Bandung.

Ini bertujuan supaya kerangka intelektuil -rohaniah arusperdana itu diperteguhkan semula.Amin. 12 Zulkaedah 1429/10 Nov  2008

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: